Showing posts with label Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Malaysia. Show all posts

Wednesday, July 29, 2009

Sukarelawan Diperlukan Bagi Asean Para Games


Persatuan Sukarelawan Muda (SUARAMU) ingin mempelawa sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi sukarelawan bagi (Sukan Paralimpik) Asean Para Games [10 - 19 Ogos 2009].

Pada 10 - 14 Ogos 2009 latihan kepada semua sukarelawan akan diberikan, 15 - 19 Ogos 2009 ialah tarikh perlawanan berlangsung. Sepanjang tempoh ini, ELAUN dan PENGINAPAN disediakan.

Borang boleh di muat turun dari laman web Asean Para Games.
Keterangan lanjut sila hubungi Saudara Azmi - 012 939 8186 / Saudari Hasimah - 012 459 8819.
- selewat-lewatnya 31 Julai 2009 (Jumaat) bagi urusan pendaftaran yang akan persatuan lakukan.

Senarai tugas sebagai sukarelawan (Sila Klik) - dari web Asean Para Games

Saturday, June 6, 2009

Belia Berwawasan Penggerak Kemajuan

KITA sering mendengar bahawa belia merupakan aset yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Kita juga sedar bahawa belia juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.

Namun persoalannya adakah belia sendiri memahami akan tanggungjawab dan fungsi mereka terhadap pembangunan dan penggerak kemajuan negara? Adakah zaman muda remaja dan belia negara kita dipenuhi dengan aspirasi untuk menjadi belia yang berwawasan dan proaktif?

Sumbangan belia terhadap kemajuan negara

Belia ditakrif sebagai golongan yang berusia di antara 15-40 tahun. Di Malaysia, golongan belia mewakili kira-kira 45 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia. Suatu jumlah yang tidak boleh dipandang remeh dan harus diberikan perhatian oleh semua pihak, terutama sekali dalam usaha pembangunan dan pengurusan belia.

Kamus Dewan mendefinisi perkataan wawasan pula sebagai sesuatu pandangan atau konsepsi berkaitan sesuatu perkara. Orang yang berwawasan boleh dikatakan sebagai orang yang mempunyai visi dan misi serta mempunyai pelan-pelan tindakan dan strategi dalam memajukan diri.

Orang yang berwawasan juga mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang tinggi dalam membangun potensi diri dan orang lain.

Amat menyedihkan apabila golongan belia dan remaja sering dikaitkan dengan fenomena yang kurang baik. Dewasa ini kita disogokkan dengan cerita-cerita negatif yang melanda golongan ini sehinggakan kita sering tertanya-tanya akan puncanya.

Kemajuan dan pembangunan seringkali dijadikan sebagai alasan kepada tindak-tanduk yang kurang bermoral dan telah mendorong kepada perubahan drastik kepada institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Kemajuan telah menjadikan taraf hidup semakin meningkat, keperluan keluarga semakin bertambah dan individu semakin bersaing untuk menjadi hebat.

Ada yang berjaya menjalani kehidupan dengan lancar, namun ada juga yang tidak dapat menongkah arus yang pesat ini lalu rebah dengan pengaruh yang kurang elok.

Pun begitu, Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan. Malah, Islam amat menggalakkan umatnya berusaha untuk mempertingkatkan diri dan umat asalkan tidak tercicir daripada landasan syariat.

Justeru, adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT. sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.

Adalah lumrah dan fitrah untuk mencari harta dan kesenangan di waktu muda belia kerana itu adalah keperluan hidup. Namun peranan belia hari ini bukan sekadar meningkatkan kerjaya diri dan mencari kesenangan harta, tetapi juga berusaha membangunkan negara ke landasan yang seimbang dan maju dalam acuan kita sendiri.

Ketangkasan berfikir dan kesihatan yang sangat optimum di zaman belia harus dimanfaatkan ke jalan yang benar dan berintegriti.

Sesebuah negara yang merdeka memerlukan setiap warganegaranya bersifat patuh dan taat terhadap program-program yang diatur yang memberi manfaat untuk membangunkan negara dalam semua bidang.

Kepatuhan terhadap membangunkan kualiti modal insan yang berkualiti menjadi pra syarat kepada pembangunan negara itu sendiri. Tanpa kualiti ilmu dan akhlak yang baik, tidak mungkin acuan pembangunan negara akan berjalan atas landasan yang seimbang.

Belia yang berjiwa kekhalifahan akan sentiasa mempunyai jiwa yang mempunyai kesedaran yang mendalam bahawa pengurusan itu adalah suatu amanah dan dikaitkan dengan ibadah dan barakah.

Jiwa kekhalifahan yang ditunjangi dengan jiwa kehambaan yang tinggi akan memerdekakan negara daripada kejahilan dan kemunduran dan ianya bakal membina negara kita ke arah negara yang maju dalam acuan kita sendiri.

Acuan sendiri haruslah tidak menolak faktor-faktor luar yang sifatnya bermanfaat dan dalam masa yang sama, faktor keislaman dapat dicemerlangkan.

Oleh itu para belia harus insaf dan sedar bahawa pembangunan potensi diri menjadikan belia berwawasan adalah suatu perkara yang amat penting dalam menjana kemajuan negara. Belia yang berketerampilan dan berwawasan pada dasarnya mempunyai kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat sebarang kelemahan, sedia berkorban serta memahami prinsip kebenaran, meyakininya dan menghormatinya.

Merenung peranan belia di zaman Rasulullah, tidak dapat dinafikan bahawa belia menjadi tonggak utama perjuangan Rasulullah.

Dalam sejarah perkembangan Islam, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat.

Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini.

Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Konstantinopal) ketika usia beliau 21 tahun.

Oleh itu terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian semua pihak agar potensi golongan belia dapat dibangunkan secara menyeluruh dan sistematik.

Pertamanya, golongan belia harus dibangun dengan nilai-nilai Islami dan murni. Minda golongan belia dan remaja amat terdedah kepada pengaruh baru.

Pendekatan Barat misalnya tidak semuanya selari dengan apa yang diperlukan dalam hidup. Namun harus diingatkan bahawa Barat tidak harus ditolak secara mutlak, tetapi proses pembaratan harus diwaspadai.

Tanpa asas agama dan nilai murni, watak belia dan remaja terutamanya remaja Islam akan mengalami ketirisan.

Keduanya, memperkukuh pendidikan secara integrasi supaya adanya kesepaduan antara ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Mempelajari asas agama adalah suatu kewajipan yang penting, dan kita sedar akan pentingnya menuntut ilmu yang kifayah.

Tetapi dalam mendepani arus globalisasi yang semakin menghimpit umat Islam, menuntut ilmu dan memajukan diri telah menjadi suatu kewajipan demi mempertahankan agama dan umat. Pendidikan yang bersepadu yang menggabungkan kepentingan menuntut ilmu ukhrawi dan duniawi adalah amat penting supaya kehidupan umat Islam bertambah lebih baik dan dalam masa yang sama ajaran Islam tidak dipinggirkan.

Seterusnya, pembangunan belia harus dijana melalui pembangunan modal insan yang berkualiti dan seimbang. Ini amat signifikan dalam usaha menjana pembangunan negara bangsa dan cita-cita agama.

Program-program yang dianjurkan haruslah melibatkan semua pihak dan didasari dengan objektif yang berguna dan bermanfaat.

Badan-badan belia dan pertubuhan remaja wajar diberi peluang yang luas untuk mendedahkan aktiviti mereka kepada umum untuk menarik perhatian golongan remaja dan belia.

Kerjasama antara badan-badan pertubuhan juga amat penting supaya potensi golongan belia dan remaja dapat dibimbing dan disalurkan ke jalan yang betul.

Keempat, mengekang pengaruh budaya popular dan pendekatan secara hedonistik. Tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh hedonistik menjadi cabaran kepada gaya dan cara kehidupan pada zaman ini.

Media cetak dan elektronik perlu menunjukkan contoh yang baik dan menampilkan laporan yang lebih bersifat membina daripada bersifat memusnah.

Rencana-rencana yang memberi inspirasi, bersifat intelektual dan membina minda harus disaji kepada minda golongan belia dan remaja dengan harapan agar ia dapat membina golongan belia yang berwawasan dan berpandangan jauh.

Kelima, melibatkan golongan belia dan remaja dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Bidang keusahawan menjanjikan peluang dan rezeki yang amat luas untuk golongan belia.

Selain daripada menjanjikan keuntungan yang tinggi, bidang ini menjana golongan belia supaya berfikiran lebih positif, berwawasan, kreatif, dan cekal.

Kemahiran kendiri (soft skills) juga dapat dibangunkan dengan baik. Rasulullah SAW di zaman belianya juga adalah seorang peniaga yang amat handal dan bijak. Justeru, amat wajar belia diberi peluang yang luas dalam bidang ini kerana ia bukan sahaja untuk keuntungan sendiri, malah juga membantu meningkatkan ekonomi negara dan umat secara seluruhnya.

Kesimpulan

Terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilakukan dalam pembangunan belia. Namun ia memerlukan tanggungjawab dan usaha semua pihak dalam menjayakannya.

Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai penggerak kemajuan negara, golongan belia perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.

Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan kearah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.

Sumber : Utusan Malaysia Online

Sunday, May 31, 2009

Belia Diingatkan Berwaspa Terhadap Golongan 'Revisionist'

olongan belia diingatkan supaya berwaspada terhadap usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak untuk mempengaruhi pemikiran mereka dengan cara memutarbelitkan fakta sejarah.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata golongan itu yang dikenali sebagai "revisionists" tahu bahawa semakin ramai golongan belia di Malaysia tidak prihatin dengan sejarah dan mereka sedang cuba menulis semula fakta sejarah atau "revising history" tanah air.

"Oleh itu amatlah penting pemimpin belia di negara ini memperkasakan diri dengan ilmu politik, sejarah dan falsafah supaya mereka dapat mentafsir perkembangan-perkembangan seperti ini dan impaknya ke atas golongan muda.

"Tugas seorang pemimpin bukan sekadar merangka program-program seperti lawatan dan majlis suai kenal sahaja, mereka perlu juga memperkenalkan program bagi memupuk semangat kenegaraan dan jati diri negara," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Belia Negara 2009 peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Raja Nong Chik berkata antara usaha golongan revisionists yang paling berani adalah dengan mendesak kerajaan supaya membenarkan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pulang ke Malaysia dengan alasan kemanusiaan.

Sementara itu beliau juga berharap supaya semua persatuan belia di Wilayah Persekutuan diurus tadbir secara telus dan cekap dengan mengguna pakai prinsip-prinsip pengurusan yang terbaik.

"Kita tidak mahu lagi mendengar berita mengenai pertubuhan belia dilanda kemelut politik dalaman sehingga melumpuhkan segala aktiviti persatuan," katanya.

Pada majlis berkenaan, Persatuan Pengakap Kelana C Daerah Batu dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Pertubuhan Belia dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil serta bantuan pembiayaan untuk aktiviti sebanyak RM10,000.

Ida Harlina Ikhwan Nasir dan V. Vimala masing-masing mendapat anugerah belia bagi kategori kepimpinan dan kesukarelaan dengan menerima hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala dan sijil.

Sumber : Bernama

Saturday, May 16, 2009

Semai Konsep 1Belia 1Malaysia

Konsep 1Belia 1Malaysia perlu diterapkan dalam pergerakan belia di negara ini bagi memastikan mereka menjadi pewaris untuk memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan belia menjadi tapak paling subur untuk merealisasikan konsep 1Malaysia dan akan menjadi lebih bermakna sekiranya golongan muda turut mengambil konsep 1Belia 1Malaysia.

“Ingatlah bahawa di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Lantaran itu, saudara dan saudari sekalian harus melihat antara satu sama lain dengan pandangan Malaysia.

“Dalam kata lain, sungguh pun kita terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan suku mahupun keturunan, kita harus insaf bahawa di bumi Malaysia kita dilahirkan, di bumi inilah kita mencipta kehidupan dan di bumi inilah kita bersemadi.

“Maka di bumi inilah juga kita wajib menumpahkan janji taat dan setia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2009 yang disiarkan melalui skrin dalam majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 20,000 belia dari seluruh negara itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Perdana Menteri juga mahukan para belia sedar bahawa kerukunan yang Malaysia capai selama ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia dirintis dengan segala jerih dan kepayahan oleh golongan terdahulu.

Najib berkata, belia adalah penentu rupa wajah Malaysia pada masa depan dengan hakikat kejayaan belia adalah kejayaan negara.

“Langkah yang seribu itu bermula dengan yang satu, Malaysia tidak akan menjadi satu sekiranya belianya tidak berpadu.

“Dari itu, terletak di jemala para belia amanah sebagai pewaris yang sewajarnya meneruskan perjalanan yang mulia ini dengan memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional yang dibina, jika tidak segala apa yang kita bangunkan akan hancur dan ranap begitu saja,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mencabar golongan belia supaya tidak sekadar berpuas hati berada di gerigi peristiwa sebaliknya bersama-sama untuk mencipta sejarah.

Najib turut mengajak belia berganding bahu dalam pentadbirannya untuk bertindak sebagai pelaku-pelaku aktif dalam membawa pembaharuan dan perubahan ke arah mencipta Malaysia yang diimpikan.

“Saya amat yakin sebagai orang muda, saudara dan saudari tentunya mempunyai banyak idea untuk dikongsi dalam menjana pembangunan negara,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar ruang dialog yang lebih luas antara belia dan kepimpinan tertinggi negara bagi memahami keperluan dan kehendak golongan itu.

Tambahnya, pendapat mengatakan bahawa hanya kerajaan mengetahui apa yang baik untuk golongan belia sudah jauh ketinggalan.

“Lantas untuk memahami aspirasi dan denyut nadi belia, kerajaan kini lebih bersedia menjadi pendengar yang baik dan mempunyai empati terhadap sudut pandangan, keluh kesah, rintihan, pendapat serta saranan saudara dan saudari sekalian,” katanya.

Najib turut meminta pertubuhan belia berusaha menarik golongan muda yang belum menjadi anggota dengan menggunakan pendekatan kreatif dan inovatif termasuk media alternatif.

Pada masa sama beliau meminta agensi kerajaan yang berurusan dengan golongan belia mengkaji semula pendekatan mereka agar tidak bersifat menghakim dan menghukum sebaliknya memahami apakah cita rasa golongan muda.

“Turunlah padang dan dengarlah suara-suara belia akar umbi dan tidak sekadar menunggu mereka untuk datang berjumpa dengan kita,” katanya.

Sumber dipetik dari Utusan Malaysia Online.

Wednesday, December 24, 2008

KBS Ambil Pendekatan Dekati Dan Fahami Masalah Belia

Kementerian Belia dan Sukan kini mengambil pendekatan mendekati belia dan memahami masalah yang dihadapi oleh mereka dalam usaha memperkasa dan menyemarakkan lagi pertubuhan belia di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika pegawai kementerian sentiasa mendekati para belia ini, beliau percaya mereka akan bersama kerajaan.

"Jika kita terus menghukum dan sebagainya adalah satu perkara di mana akhirnya mereka akan lagi lari daripada kita. Yang paling baik adalah mendekati dan memahami mereka atau kita mesti menjadi sebahagian daripada mereka... kita mesti memahami jiwa mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan pegawai belia dan sukan 2008 di sini, Selasa malam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat sesetengah pertubuhan belia di negara ini yang mendapat peruntukan kementerian itu tetapi menentang kerajaan.

"Ini suatu yang baru yang saya tahu. Bagaimanapun, apa yang boleh kita lakukan ialah kita mesti mendekati mereka dan memahami masalah yang dihadapi mereka. Tidak semua belia dilahirkan sebagai pembangkang tetapi mesti ada masalah yang perlu kita tahu dan kita mesti mendekati mereka.

"Jika kita dapat tahu ada pertubuhan belia sedemikian, kita akan siasat perkara ini dan kita mungkin akan bincang apa masalah yang dihadapinya. Kadang-kadang masalah yang dihadapi menentang kita kerana masalah sikit saja yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara mudah. Sebab itulah kalau kita tak bersamanya, kita tidak tahu masalah yang kecil itu," katanya.

Sementara itu, katanya kementeriannya akan memberi tumpuan terhadap pergerakan belia di akar umbi dengan mewujudkan Kelab Rakan Muda pada tahun depan.

"Kalau boleh kita akan wujudkan Rakan Muda di setiap kawasan. Langkah ini juga sesuai dengan program kita untuk kempen penambahan ahli belia melalui kempen satu komuniti satu persatuan.

"Dengan ini, ia berjalan serentak dengan kempen belia dan penubuhan KRM. Pendekatan kita sekarang ialah kita pergi kepada mereka (mendekati dan memahami mereka)," katanya.

Sumber dipetik dari Bernama.

Saturday, December 13, 2008

Belia Bantu Ibu Tunggal

Golongan remaja dan belia perlu didedahkan dengan sikap kesukarelawan kerana ia mampu memberi kesedaran untuk bersama-sama membela nasib anak bangsa yang memerlukan bantuan, di samping menyemai sikap prihatin.

Pembentukan sikap ini amat mustahak, terutamanya pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang yang pesat membangun kini.

Menyedari perkara itu, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili telah menganjurkan Program Khidmat Bakti Rakan Muda Prihatin, baru-baru ini.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Sedili, Pemuda UMNO cawangan Tanjung Sedili dan Kelab Rakan Muda Kota Tinggi serta penduduk setempat yang bergotong-royong membina, membersih, mengecat serta membaiki rumah seorang ibu tunggal, Fadilah Chek Ahmad, 32, di Tanjung Sedili, di sini.

Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Mohd. Azli Lee Abdullah berkata, program yang disertai 75 orang itu merupakan platform terbaik menyemarakkan minat golongan remaja dan belia untuk berbakti kepada masyarakat.

Menurutnya, program itu juga secara tidak langsung dapat melahirkan keyakinan masyarakat kepada nilai-nilai positif yang ada pada golongan belia sekarang.

Beliau berkata, objektif program tersebut juga untuk memupuk nilai positif dan semangat kemasyarakatan di kalangan belia selain mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bagi melahirkan masyarakat yang harmoni.

Sementara itu, Fadilah dan tiga anaknya berusia 12 hingga 16 tahun yang tinggal di sebuah rumah usang peninggalan arwah suaminya tiga tahun lalu bersyukur kerana rumah mereka kini selesa.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang sudi membantu mendapatkan sumbangan untuk membaiki rumah mereka, Fadilah mengakui suasana baru rumah berkenaan bakal memberi sinar baru kepada keluarga.

"Sebelum ini kami sekeluarga dalam keadaan yang kurang selesa kerana atap dan dinding rumah terlalu uzur dan membahayakan.

"Bantuan yang diberi memang kami hargai. Dengan pendapatan RM450 sebulan di sebuah kilang di Kota Tinggi, agak sukar untuk saya menyewa atau membina sebuah rumah yang selesa," katanya.

Fadilah turut mengakui sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini lebih ceria kerana mereka dapat berhari raya di rumah yang lebih selesa.

Sumber dipetik dari Utusan Malaysia.

Tuesday, December 9, 2008

Yayasan Salam Lancar Tabung Bencana Bukit Antarabangsa

Yayasan Salam Malaysia hari ini melancarkan Tabung Bencana Bukit Antarabangsa untuk membantu penduduk yang terlibat dalam bencana tanah runtuh Sabtu lalu.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan itu, Datuk Ahmad A. Talib berkata, orang ramai boleh menyalurkan bantuan wang tunai melalui cek, wang pos atau bank draf atas nama Yayasan Salam Malaysia dan menulis di belakang cek atau bank draf `Tabung Bencana Bukit Antarabangsa’.

"Mereka yang mahu menderma wang tunai boleh memasukkan derma ke akaun Yayasan Salam Malaysia dan nombor akaun Public Bank ialah 3072 8793 02," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sumber dipetik dari Utusan.

Sebarang pertanyaan boleh terus
menghubungi Yayasan Salam.

Monday, December 8, 2008

Salam Aidiladha

Warga Suaramu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam. Semoga disambut dengan penuh rasa keinsafan dalam diri. InsyaALLAH.

Friday, December 5, 2008

Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day)

Sukarelawan memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat, negara dan bangsa. Sumbangan sukarelawan dalam memupuk kerjasama, persefahaman dan kemanusian sejagat di peringkat serantau dan antarabangsa semakin mendapat pengiktirafan luas masyarakat dunia. Sehubungan dengan itu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengisytiharkan 2001 sebagai Tahun Sukarelawan Antarabangsa dan menjadikan 5 Disember setiap tahun sebagai Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day).

Monday, September 1, 2008

Jualan Kurma Sempena Ramadhan

Sukarelawan Muda (SUARAMU) ada menjual kurma sempena bulan ramadhan ini.

Ada dua jenis kurma yang kami jual, Black Rubie dan Oman. Harga kurma untuk Black Rubie (RM 12) manakala untuk Oman (RM10).

Jika ingin menderma, kami mengalu-alukan.

Hasil jualan kurma ini, akan kami gunakan untuk melakukan kerja-kerja amal. InsyALLAH (",)

Kalau ada yang berminat blh email suaramu@gmail.com.

Salam Ramadhan

Salam Ramadhan kepada semua umat Islam.

Semoga bulan ramadhan ini membawa keberkatan kepada kita semua. InsyaALLAH (",)

Daripada kami Sukarelawan Muda (SUARAMU).

Sunday, August 31, 2008

Gambar Misi Kemerdekaan SUARAMU























Friday, August 29, 2008

Misi Kemerdekaan SUARAMU


Thursday, June 26, 2008

Program Rakan Muda


Program Majlis Pelancaran

Rakan Muda Remaja Siber

Jam 10 pagi
Ahad (29 Jun 2008)
New Wing One Utama, Bandar Utama.

~Semua dijemput hadir~

Thursday, May 1, 2008

SUARAMU

Sukarelawan Muda, atau ringkasnya SUARAMU, ditubuhkan bagi menggalakkan semangat kesukarelaan dan memberi peluang kepada golongan belia untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan dalam pelbagai bidang dan serba boleh.

SUARAMU.. ditubuhkan dalam sebuah organisasi bebas dan tidak bormotifkan keuntungan.

"Berkhidmat Tanpa Sempadan"

Semua ahli SUARAMU merupakan bekas peserta Program Sukarelawan Rakan Muda Antarabangsa Cambodia 2007 Anjuran Kementerian Belia & Sukan Malaysia. Melalui program ini, dengan semangat kesukarelaan SUARAMU ditubuhkan.

Program Sukarelawan Rakan Muda Antarabangsa Cambodia 2007
elaksanaan Program Rakan Masyarakat Sukarelawan Rakan Muda Antarabangsa Cambodia ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada Sukarelawan Rakan Muda untuk mempraktikkan bidang sukarelawan ini secara lebih bermakna dan menyeluruh terutamanya kepada golongan yang memerlukan hingga ke peringkat antarabangsa.

Program ini juga dapat menerapkan semangat kesukarelaan dengan memberikan pendedahan kepada kerja-kerja kemahiran dan pengalaman dalam aspek-aspek kepimpinan pengurusan dan sosial yang mampu menyumbang kepada kepentingan pembangunan organisasi dan masyarakat.

TARIKH PELAKSANAAN PROGRAM : 7 -13 DISEMBER 2007
TEMPAT PELAKSANAAN : CAMBODIA
TARIKH LATIHAN PERSEDIAAN : 3 – 6 DISEMBER 2007
TEMPAT LATIHAN PERSEDIAAN : KEM PLKN, SETIA IKHLAS, SEMENYIH, SELANGOR
JUMLAH PESERTA : 52 PESERTA
PECAHAN PESERTA : 22 SUKARELAWAN DARI JBSN
17 SUKARELAWAN SEKRETARIAT RM IPT
4 SUKARELAWAN SEKRETARIAT RM IKBN
5 PEGAWAI DAN KAKITANGAN KBS
4 PENGGERAK RAKAN MUDA
1 NGO


Ringkasan Aktiviti di Kg Thom


Di Kg Thom, para peserta seramai 30 orang diberi tugasan untuk menyiapkan Madrasah untuk kegunaan penduduk kampung terutamanya kanak-kanak untuk belajar. Bilangan kanak-kanak di kampung ini adalah terlalu ramai dan mereka memerlukan tempat yang selesa untuk belajar. Sebelum ini mereka menggunakan madrazah yang uzur untuk belajar dan tidak dilengkapi dengan kemudahan asas untuk proses pembelajaran. Pembinaan madrasah ini mengambil masa 4 hari bermula 4 Disember 2007 dan siap sepenuhnya pada 12 Disember 2007.

Selain itu, majlis berkhatan ramai-ramai melibatkan 220 orang kanak-kanak telah diadakan selama 3 hari iaitu 9-12 Disember 2007 dan majlis kenduri bersama penduduk pula diadakan pada 12 Disember 2007. Pada hari tersebut juga Ketua Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negara juga telah hadir bersama rombongan pegawai kanan KBS yang lain untuk melawat aktiviti peserta di kawasan program.

Antara aktiviti sampingan adalah aktiviti melukis, mewarna dan mengajar membaca dikalangan kanak kanak di kampong tersebut disamping menjalankan aktiviti gotong royong bersama penduduk setempat.



RINGKASAN AKTIVITI DI KG KANDAL

Di Kawasan penempatan Kg Kandal, para peserta seramai 20 diberi tugasan untuk membina rumah penduduk kampung yang selama ini tidak mempunyai rumah kediaman dan hanya tinggal di dalam perahu di tepi sungai berhampiran kawasan program. Sebanyak 5 buah rumah untuk 5 keluarga. Selain itu mereka juga telah membaik pulih sebanyak 3 buah rumah yang telah rosak. Di samping itu juga, peserta ini juga menjalankan aktiviti mengecat surau.

Selain itu juga, majlis berkhatan ramai-ramai melibatkan 50 orang kanak-kanak tempatan telah diadakan selama 1 hari iaitu pada 10 Disember 2007 dan majlis kenduri bersama penduduk pula diadakan pada hari. Pada hari tersebut juga Ketua Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negara juga telah hadir bersama rombongan pegawai kanan KBS yang lain untuk melawat aktiviti peserta di kawasan program.

Antara aktiviti sampingan adalah aktiviti melukis, mewarna dan mengajar membaca dikalangan kanak-kanak di kampung tersebut.

RUMUSAN

Progam Rakan Masyarakat Sukarelawan Rakan Muda Antarabangsa ini dilihat mampu membuka minda golongan Rakan Muda untuk menghadapi halangan dan mampu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran disamping memahami kepentingan kerja-kerja sukarela untuk pembangunan individu, organisasi, masyarakat dan negara. Adalah diharapkan agar menerusi program ini juga dapat terus memupuk semangat cintakan negara dan mensyukuri nikmat menjadi warganegara Malaysia yang Prihatin, Mahir dan Dinamik.

Gambar, Geng 52 dan banyak lagi ...Layarilah www.srmac.multiply.com

Wednesday, April 9, 2008

Bengkel Penyelarasan Sukarelawan



Detik permulaan suaramu pada 04-06 April 2008 di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Monday, April 7, 2008

SUARAMU

Sukarelawan Rakan Muda Malaysia, atau ringkasnya SUARAMU, ditubuhkan bagi menggalakkan semangat kesukarelaan dan memberi peluang kepada golongan belia untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan dalam pelbagai bidang dan serba boleh.


SUARAMU.. ditubuhkan selepas semua ahli telah terlibat dalam Program Sukarelawan Rakan Muda Antarabangsa Cambodia 2007. Selepas tamat program tersebut, dengan semangat kesukarelaan yang membara. Kami semua sepakat menubuhkan SUARAMU.. untuk melibatkan diri secara terus dalam kegiatan sukarela.

SUARAMU.. ditubuhkan dalam sebuah organisasi bebas dan tidak bormotifkan keuntungan..