Sunday, May 31, 2009

Belia Diingatkan Berwaspa Terhadap Golongan 'Revisionist'

olongan belia diingatkan supaya berwaspada terhadap usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak untuk mempengaruhi pemikiran mereka dengan cara memutarbelitkan fakta sejarah.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata golongan itu yang dikenali sebagai "revisionists" tahu bahawa semakin ramai golongan belia di Malaysia tidak prihatin dengan sejarah dan mereka sedang cuba menulis semula fakta sejarah atau "revising history" tanah air.

"Oleh itu amatlah penting pemimpin belia di negara ini memperkasakan diri dengan ilmu politik, sejarah dan falsafah supaya mereka dapat mentafsir perkembangan-perkembangan seperti ini dan impaknya ke atas golongan muda.

"Tugas seorang pemimpin bukan sekadar merangka program-program seperti lawatan dan majlis suai kenal sahaja, mereka perlu juga memperkenalkan program bagi memupuk semangat kenegaraan dan jati diri negara," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Belia Negara 2009 peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Raja Nong Chik berkata antara usaha golongan revisionists yang paling berani adalah dengan mendesak kerajaan supaya membenarkan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pulang ke Malaysia dengan alasan kemanusiaan.

Sementara itu beliau juga berharap supaya semua persatuan belia di Wilayah Persekutuan diurus tadbir secara telus dan cekap dengan mengguna pakai prinsip-prinsip pengurusan yang terbaik.

"Kita tidak mahu lagi mendengar berita mengenai pertubuhan belia dilanda kemelut politik dalaman sehingga melumpuhkan segala aktiviti persatuan," katanya.

Pada majlis berkenaan, Persatuan Pengakap Kelana C Daerah Batu dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Pertubuhan Belia dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil serta bantuan pembiayaan untuk aktiviti sebanyak RM10,000.

Ida Harlina Ikhwan Nasir dan V. Vimala masing-masing mendapat anugerah belia bagi kategori kepimpinan dan kesukarelaan dengan menerima hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala dan sijil.

Sumber : Bernama

0 komen: