Tuesday, September 9, 2008

Mari Berjalan Untuk Keamanan

(Sempena Hari Keamanan Antarabangsa Pada 21 Sept)

Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Sept 2001, menerusi resolusi 55/282 meluluskan tarikh 21 Sept sebagai Hari Keamanan Antarabangsa.

Sebagai memperingati hari berkenaan, acara "Berjalan untuk Keamanan" atau "Walk for Peace" diadakan dengan penyertaan terutamanya veteran angkatan tentera.

Tahun ini, pada tarikh keramat ini, kira-kira 1 juta veteran angkatan tentera di seluruh dunia dijangka mengambil bahagian dalam acara "Berjalan untuk Keamanan".

Majlis ini dianjurkan oleh Persekutuan Veteran Sedunia (WVF), sebuah pertubuhan antarabangsa dengan keanggotaan 175 organisasi veteran dari 90 buah negara.

Pertubuhan ini, yang mewakili kepentingan lebih 25 juta veteran angkatan tentera di merata dunia, diterajui anak watan Lt Kol (B) Datuk Abdul Hamid Ibrahim sebagai Presiden.

SAMBUTAN DI MALAYSIA

Malaysia juga buat julung kalinya akan mengadakan acara "Berjalan untuk Keamanan" ini pada 21 Sept tahun ini.

Program ini, yang akan dijadikan sebagai acara tahunan, bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)Kuala Lumpur.

Pihak yang mengambil inisiatif menganjurkannya ialah Majlis Veteran Angkatan Tentera Malaysia (MVATM) dengan dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Friends To Mankind.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran bagi Malaysia, Mej Jen (B) Datuk Khairuddin Abu Bakar memberitahu Bernama, kira-kira 3,500 peserta dijangka menyertai perhimpunan "Berjalan untuk Keamanan" ini.

Organisasi veteran angkatan tentera Malaysia yang telah mengesahkan penyertaan untuk acara ini termasuk MVATM, Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja, Kelab Veteran Komando Malaysia, Kelab Veteran Kor Risik Malaysia, Persatuan Bekas Polis Tentera Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan Kelab Bekas Tentera British.

Perhimpunan ini juga berjaya menarik komitmen penyertaan beberapa NGO termasuk Friends to Mankind, Pertubuhan Seniman Malaysia, Yayasan Salam, Aman Malaysia,Yayasan Kebudayaan India Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia di samping beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Memandangkan sambutan tahun ini berlangsung di dalam bulan Ramadan, Khairuddin berkata semua aktiviti perhimpunan akan hanya diadakan di Dewan Merdeka, PWTC.

Antara atur cara yang akan berlangsung ialah bacaan Mesej Keamanan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon serta nyanyian lagu "Hari Yang Aman", ciptaan khas pasangan suami isteri, Khir Rahman dan Siti Jasmina Ibrahim.

Tepat pukul 12 tengah hari, serentak dengan semua majlis yang diadakan di seluruh dunia, atur cara bertafakur selama seminit akan berlangsung.

ANTARA MATLAMAT

Menurut Khairuddin, pihaknya berharap dengan penganjuran perhimpunan "Berjalan untuk Keamanan" itu, ia dapat mewujudkan kesedaran bahawa keamanan adalah satu keperluan kemanusian yang amat bernilai.

"Menerusi acara ini kita mahu mewujudkan interaksi yang dapat membangkitkan semangat perpaduan dan cintakan keamanan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

"Perpaduan dan keamanan adalah seiring. Kita jangan mudah membangkitkan isu perkauman yang boleh menjadikan kita berpecah belah.

"Kalau semua pihak menjaga perpaduan dan saling hormat menghormati, negara ini akan terus aman dan selamat," kata Khairuddin yang pernah berkhidmat bersama kontinjen Malaysia (MalBat) di Somalia pada 1995.

HARGAI KEAMANAN

Ketika bertugas selama enam bulan di Somalia, Khairuddin menyaksikan sendiri kemusnahan harta benda dan kesengsaraan hidup penduduk negara yang sering dilanda peperangan itu.

Beliau masih tidak dapat melupakan wajah-wajah sedih dan sugul wanita-wanita Somalia yang mengendong bayi yang sering datang meminta makanan di kem di mana beliau bertugas.

"Tanaman musnah, rumah kediaman binasa, tiada apa yang tinggal lagi. Hidup rakyat sengsara, kanak-kanak tidak bersekolah, ekonomi merudum," katanya.

Beliau juga masih teringat wajah kanak-kanak yang berkeliaran dan bergelimpangan tidur di stesen kereta api, yang dilihatnya sewaktu mengikuti kursus di India pada awal 1980an.

"Dalam perjalanan kereta api dari New Delhi ke Srinagar, apa yang mengharukan saya ialah apabila saya mencampakkan sekeping capati yang sudah kering ke luar tingkap, berebut orang termasuk kanak-kanak mahu mendapatkan capati itu. Tak dapat saya lupakan pengalaman itu.

"Kita harap rakyat negara ini ini sedar betapa tingginya harga sebuah keamanan dan kemakmuran. Jangan fikir ia perkara yang remeh temeh," kata Khairuddin

DIDIK ANAK-ANAK

Menurut beliau, pembabitan pelajar sekolah dalam acara "Berjalan untuk Keamanan" itu diharap dapat menyemai semangat cintakan keamanan dan perpaduan.

Memegang kepada pepatah, "Kalau melentur buluh biar dari rebung," Khairuddin berkata generasi muda perlu dididik supaya belajar hidup harmoni sesama kaum dan dengan kaum yang lain.

Serentak dengan acara "Berjalan Untuk Keamanan" ini, Khairuddin berkata satu pameran juga akan diadakan di PWTC, memaparkan antaranya gambar-gambar yang menunjukkan kesan penderitaan dan kebinasaan akibat perperangan.

Sementara itu, Naib Presiden Friends to Mankind, Yasotha Kishna berkata pihaknya menyokong usaha MVATM menganjurkan acara "Berjalan untuk Keamanan" kerana program itu selari dengan matlamat pertubuhannya iaitu keamanan.

Beliau bagaimanapun berkata usaha untuk memberi kesedaran tentang keamanan tidak seharusnya dipikul oleh kumpulan atau persatuan semata-mata."

Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk keamanan. Jika semua memegang prinsip ini nescaya kita akan lebih berhati-hati dalam setiap perlakuan kita.

"Kita akan juga selalu memikirkan orang lain apabila kita mahu berbuat sesuatu," kata Yasotha yang berharap lebih banyak pihak tampil untuk menyertai perhimpunan "Berjalan untuk Keamanan".

Mereka yang berminat menyertai perhimpunan ini masih lagi boleh berbuat demikian. Pendaftaran juga boleh dibuat dengan Friends to Mankind, nombor telefon 03-61577746. Penyertaan adalah percuma.

Segala pertanyaan dan pendaftaran boleh diajukan kepada MVATM di alamat Jabatan Hal Ehwal Awam ATM, Kementerian Pertahanan, Menara TH Perdana, Jalan Tuanku Abdul Rahman, telefon 03-4297 1743 atau layari laman web www.mvatm.org

-- BERNAMA

0 komen: