Wednesday, December 24, 2008

KBS Ambil Pendekatan Dekati Dan Fahami Masalah Belia

Kementerian Belia dan Sukan kini mengambil pendekatan mendekati belia dan memahami masalah yang dihadapi oleh mereka dalam usaha memperkasa dan menyemarakkan lagi pertubuhan belia di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika pegawai kementerian sentiasa mendekati para belia ini, beliau percaya mereka akan bersama kerajaan.

"Jika kita terus menghukum dan sebagainya adalah satu perkara di mana akhirnya mereka akan lagi lari daripada kita. Yang paling baik adalah mendekati dan memahami mereka atau kita mesti menjadi sebahagian daripada mereka... kita mesti memahami jiwa mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan pegawai belia dan sukan 2008 di sini, Selasa malam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat sesetengah pertubuhan belia di negara ini yang mendapat peruntukan kementerian itu tetapi menentang kerajaan.

"Ini suatu yang baru yang saya tahu. Bagaimanapun, apa yang boleh kita lakukan ialah kita mesti mendekati mereka dan memahami masalah yang dihadapi mereka. Tidak semua belia dilahirkan sebagai pembangkang tetapi mesti ada masalah yang perlu kita tahu dan kita mesti mendekati mereka.

"Jika kita dapat tahu ada pertubuhan belia sedemikian, kita akan siasat perkara ini dan kita mungkin akan bincang apa masalah yang dihadapinya. Kadang-kadang masalah yang dihadapi menentang kita kerana masalah sikit saja yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara mudah. Sebab itulah kalau kita tak bersamanya, kita tidak tahu masalah yang kecil itu," katanya.

Sementara itu, katanya kementeriannya akan memberi tumpuan terhadap pergerakan belia di akar umbi dengan mewujudkan Kelab Rakan Muda pada tahun depan.

"Kalau boleh kita akan wujudkan Rakan Muda di setiap kawasan. Langkah ini juga sesuai dengan program kita untuk kempen penambahan ahli belia melalui kempen satu komuniti satu persatuan.

"Dengan ini, ia berjalan serentak dengan kempen belia dan penubuhan KRM. Pendekatan kita sekarang ialah kita pergi kepada mereka (mendekati dan memahami mereka)," katanya.

Sumber dipetik dari Bernama.

Saturday, December 13, 2008

Belia Bantu Ibu Tunggal

Golongan remaja dan belia perlu didedahkan dengan sikap kesukarelawan kerana ia mampu memberi kesedaran untuk bersama-sama membela nasib anak bangsa yang memerlukan bantuan, di samping menyemai sikap prihatin.

Pembentukan sikap ini amat mustahak, terutamanya pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang yang pesat membangun kini.

Menyedari perkara itu, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili telah menganjurkan Program Khidmat Bakti Rakan Muda Prihatin, baru-baru ini.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Sedili, Pemuda UMNO cawangan Tanjung Sedili dan Kelab Rakan Muda Kota Tinggi serta penduduk setempat yang bergotong-royong membina, membersih, mengecat serta membaiki rumah seorang ibu tunggal, Fadilah Chek Ahmad, 32, di Tanjung Sedili, di sini.

Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Mohd. Azli Lee Abdullah berkata, program yang disertai 75 orang itu merupakan platform terbaik menyemarakkan minat golongan remaja dan belia untuk berbakti kepada masyarakat.

Menurutnya, program itu juga secara tidak langsung dapat melahirkan keyakinan masyarakat kepada nilai-nilai positif yang ada pada golongan belia sekarang.

Beliau berkata, objektif program tersebut juga untuk memupuk nilai positif dan semangat kemasyarakatan di kalangan belia selain mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bagi melahirkan masyarakat yang harmoni.

Sementara itu, Fadilah dan tiga anaknya berusia 12 hingga 16 tahun yang tinggal di sebuah rumah usang peninggalan arwah suaminya tiga tahun lalu bersyukur kerana rumah mereka kini selesa.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang sudi membantu mendapatkan sumbangan untuk membaiki rumah mereka, Fadilah mengakui suasana baru rumah berkenaan bakal memberi sinar baru kepada keluarga.

"Sebelum ini kami sekeluarga dalam keadaan yang kurang selesa kerana atap dan dinding rumah terlalu uzur dan membahayakan.

"Bantuan yang diberi memang kami hargai. Dengan pendapatan RM450 sebulan di sebuah kilang di Kota Tinggi, agak sukar untuk saya menyewa atau membina sebuah rumah yang selesa," katanya.

Fadilah turut mengakui sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini lebih ceria kerana mereka dapat berhari raya di rumah yang lebih selesa.

Sumber dipetik dari Utusan Malaysia.

Tuesday, December 9, 2008

Yayasan Salam Lancar Tabung Bencana Bukit Antarabangsa

Yayasan Salam Malaysia hari ini melancarkan Tabung Bencana Bukit Antarabangsa untuk membantu penduduk yang terlibat dalam bencana tanah runtuh Sabtu lalu.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan itu, Datuk Ahmad A. Talib berkata, orang ramai boleh menyalurkan bantuan wang tunai melalui cek, wang pos atau bank draf atas nama Yayasan Salam Malaysia dan menulis di belakang cek atau bank draf `Tabung Bencana Bukit Antarabangsa’.

"Mereka yang mahu menderma wang tunai boleh memasukkan derma ke akaun Yayasan Salam Malaysia dan nombor akaun Public Bank ialah 3072 8793 02," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sumber dipetik dari Utusan.

Sebarang pertanyaan boleh terus
menghubungi Yayasan Salam.

Monday, December 8, 2008

Salam Aidiladha

Warga Suaramu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam. Semoga disambut dengan penuh rasa keinsafan dalam diri. InsyaALLAH.

Friday, December 5, 2008

Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day)

Sukarelawan memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat, negara dan bangsa. Sumbangan sukarelawan dalam memupuk kerjasama, persefahaman dan kemanusian sejagat di peringkat serantau dan antarabangsa semakin mendapat pengiktirafan luas masyarakat dunia. Sehubungan dengan itu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengisytiharkan 2001 sebagai Tahun Sukarelawan Antarabangsa dan menjadikan 5 Disember setiap tahun sebagai Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day).